• Unit Audit Dalam (UAD)
  • audit@um.edu.my
logo
logo

Piagam Audit Dalam Universiti Malaya

Dikemaskini dan Diluluskan oleh Lembaga Pengarah Universiti pada 11 April 2013

1.1  PENDAHULUAN
Seksyen Audit Dalam Universiti Malaya (SKAD) ditubuhkan sebagai badan bebas, berobjektif dan menjalankan aktiviti pengauditan dan rundingan bagi penambahbaikan nilai dalam operasi dan pentadbiran Universiti Malaya (UM). SKAD membantu UM mencapai objektifnya secara sistematik dan berdisiplin bagi menilai dan meningkatkan keberkesanan pengurusan risiko, kawalan dalaman dan tadbir urus UM dan Pusat Tanggungjawab di bawahnya.
1.2  PERANAN

SKAD merupakan unit yang memberikan perkhidmatan sokongan kepada pihak Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Jawatankuasa Audit (JKA) dan Pengurusan Universiti Malaya (Pengurusan UM). SKAD membantu LPU, JKA dan Pengurusan UM meningkatkan keberkesanan dengan lebih sempurna melalui kaedah berikut:

1.2.1   Mengenalpasti dan menilai risiko-risiko yang menghalang pencapaian objektif UM;

1.2.2   Membantu membangunkan sistem kawalan dalaman bagi mengurangkan halangan terhadap pencapaian objektif UM;

1.2.3  Melaporkan keberkesanan sistem kawalan dalaman dari segi pentadbiran dan pengurusan, perakaunan, pengkomputeran, teknologi maklumat atau perkara-perkara yang berkaitan dengan UM dan seumpamanya; dan

1.2.4   Memberi cadangan bagi meningkatkan keberkesanan kawalan dalaman, pengurusan risiko dan hal-hal berkaitan amalan governan melaluI aktiviti audit yang dijalankan.

1.3  PROFESIONALISME

SKAD melaksanakan pentadbiran dan fungsi-fungsinya mengikut polisi yang dibentuk oleh kerajaan, LPU, JKA, Pengurusan UM dan akta-akta lain yang berkaitan. SKAD juga mengutamakan pematuhan kepada Surat Pekeliling Am Bil. 3 Tahun 1998 berkenaan Garis Panduan Mengenai Peranan dan Tanggungjawab Kementerian, Lembaga Pengarah dan Ketua Eksekutif Dalam Pengurusan Badan Berkanun Persekutuan. Pelaksanaan aktiviti audit dalam dan profesionalisme adalah berasaskan kepada:

1.3.1   Arahan-arahan dari pihak berkuasa UM;

1.3.2   Manual Audit Dalam UM yang diluluskan oleh LPU dan JKA;

1.3.3  Piagam Institut Juruaudit Dalam (IIA) yang merangkumi definisi audit dalam, kod etika dan piawaian International Standards for the Professional Practice of Internal Auditing yang membentuk prinsip asas bagi amalan profesional audit dalam; dan

1.3.4   Kod Etika Universiti Malaya.

1.4  KUASA

Dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya, Juruaudit Dalam diberi kuasa penuh melalui polisi dan arahan kerajaan, LPU, JKA, Pengurusan UM dan akta-akta berkaitan untuk membolehkannya:

1.4.1   Menemui mana-mana pegawai/kakitangan UM di semua peringkat untuk mendapatkan keterangan atau maklumat yang diperlukan;

1.4.2   Memeriksa dan mendapatkan apa juga salinan dari buku, dokumen, rekod, minit mesyuarat dan lain-lain bentuk sumber maklumat mana-mana Pusat Tanggungjawab termasuk salinan digital tanpa kos;

1.4.3   Memeriksa semua rekod UM, buku, minit mesyuarat, dokumen, wang tunai, barang-barang dan lain-lain harta atau aset UM yang tertakluk kepada audit;

1.4.4   Menyemak dan menilai dasar, rancangan, peraturan dan rekod Universiti;

1.4.5   Mendapatkan nasihat daripada mana-mana pegawai/kakitangan Universiti atau daripada mana-mana pegawai/kakitangan di dalam perkhidmatan kerajaan atau badan profesional mengenai isu-isu yang berkaitan; dan

1.4.6   Bebas dan tidak terhalang untuk memeriksa, menyemak dan mendapatkan sebarang maklumat daripada pihak berkuasa UM

LPU, pihak Pengurusan UM dan kakitangan UM berkewajipan dan dikehendaki memberi kerjasama sepenuhnya kepada JKA dan Juruaudit Dalam untuk membolehkannya menjalankan tugas dengan berobjektif dan efektif.

Juruaudit Dalam bertanggungjawab untuk memastikan semua maklumat yang diperolehi dikendalikan dengan penuh hati-hati, kerahsiaan, kejujuran dan ketelusan seperti yang digariskan dalam kod etika profesional Juruaudit Dalam. Juruaudit Dalam dan semua pihak yang menjalankan tugas audit adalah tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972.

Walaupun kebenaran penuh diberi, SKAD adalah bertanggungjawab memastikan segala maklumat disimpan dengan baik dan elemen “rahsia” terpelihara dan mematuhi akta-akta serta prosedur berkenaan penyimpanan maklumat yang digunapakai di UM

1.5  ORGANISASI

Ketua SKAD bertanggungjawab melaporkan hal-hal pentadbiran (contohnya urusan sumber manusia, kewangan dan lain-lain perkara) kepada Naib Canselor dari semasa ke semasa. Manakala bagi pelaporan fungsi pengauditan, Ketua SKAD bertanggungjawab melaporkannya secara terus kepada JKA melalui Mesyuarat JKA yang dikendalikan sekurang-kurangnya empat kali setahun bagi membentangkan laporan audit yang telah dikeluarkan. JKA akan membincangkan perkara-perkara yang dibentangkan dan memperakukan tindakan yang perlu sebelum melaporkan kepada LPU. Selain itu, Ketua SKAD juga boleh menghubungi dan merujuk kepada ahli-ahli JKA dari masa ke semasa mengikut keperluan.

JKA dan Naib Canselor akan meluluskan semua keputusan mengenai pelantikan atau pemecatan Ketua SKAD termasuk penetapan tangga gaji, penilaian prestasi, pelarasan gaji dan kenaikan pangkat Ketua SKAD.

Perlantikan staf SKAD adalah mengikut prosedur yang ditetapkan oleh UM. Segala hal-hal berkaitan penggajian staf, kemudahan, imbuhan dan sebagainya adalah mengikut garis panduan yang digunapakai oleh UM. Penilaian prestasi tahunan Ketua SKAD dan staf SKAD adalah berdasarkan format penilaian prestasi yang dipersetujui oleh JKA dan Naib Canselor UM.

1.6  BADAN BEBAS DAN BEROBJEKTIF

Aktiviti SKAD akan kekal bebas daripada campur tangan Pengurusan UM termasuklah hal-hal yang melibatkan pemilihan tajuk auditan, kandungan auditan, skop auditan, prosedur auditan, kekerapan pengauditan, masa auditan atau sebarang kandungan laporan yang membenarkan SKAD bertindak secara bebas dan berobjektif.

SKAD tidak terlibat secara langsung mahu pun berkuasa ke atas operasi atau mana-mana aktiviti bagi perkara yang telah diaudit. Oleh yang demikian, SKAD tidak akan terlibat dalam melaksanakan kawalan dalaman, penggubalan prosedur, pembangunan sistem, penyediaan rekod atau sebarang penglibatan lain yang boleh menjejaskan pertimbangan Juruaudit Dalam di masa akan datang. Bagaimanapun SKAD adalah tidak dihalang untuk dijemput sebagai penasihat kepada aktiviti-aktiviti tersebut sebagaimana yang digariskan di dalam Surat Pekeliling Am Bil. 3 Tahun 1998.

Juruaudit Dalam perlu menunjukkan tahap profesional yang paling tinggi dan berobjektif dalam mengumpul, menilai dan menyampaikan maklumat berkaitan pengauditan yang sedang dijalankan dan diperiksa. Juruaudit Dalam perlu membuat penilaian yang seimbang bagi semua keadaan yang berkaitan dan tidak dipengaruhi oleh kepentingan sendiri atau orang lain dalam membuat pertimbangan. 

Piagam Seksyen Audit Dalam Universiti Malaya perlu dibentangkan dan disemak semula kepada JKA apabila terdapat keperluan bagi menerangkan fungsi bebas dan kuasa SKAD dalam menjalankan tanggungjawabnya. Piagam ini seterusnya dibentangkan oleh JKA kepada LPU untuk kelulusan.

1.7  TANGGUNGJAWAB 

SKAD diberi tanggungjawab untuk mengkaji, menganalisa, menyiasat, menilai dan memberi pendapat, pandangan serta cadangan ke atas mana-mana aspek, aktiviti, fungsi atau operasi UM.

Untuk tujuan tersebut, SKAD akan melaksanakan tugas-tugas pengauditan berdasarkan perkara berikut:-

1.7.1   Mengkaji semula pelaksanaan polisi dan aktiviti UM dan pusat tanggungjawab di bawahnya dalam tempoh tertentu untuk mengetahui sama ada fungsi perancangan, penyeliaan, arahan dan pengawalan adalah berdasarkan dasar, arahan dan peraturan pengurusan dan dilaksanakan dengan berkesan sejajar dengan objektif dan amalan pengurusan yang baik;

1.7.2   Menilai kebergantungan dan integriti maklumat dan kaedah yang digunakan untuk mengenalpasti, mengukur, mengelaskan dan melaporkan maklumat tersebut;

  1. Menentukan kebolehpercayaan dan keberkesanan sistem kawalan dalaman dan pengawasan operasi;
  2. Mengkaji ketepatan dan kesahihan maklumat kewangan dan mengenalpasti cara untuk mengukur, menjenis dan melaporkan maklumat tersebut;

1.7.3   Mengkaji sistem sedia ada untuk memastikan ianya selaras dengan dasar dan peraturan terutamanya bidang yang mempunyai kesan terhadap operasi serta menentukan sama ada UM mematuhinya. Jika perlu, mencadangkan dasar yang sesuai;

1.7.4   Menilai pengurusan risiko UM;

1.7.5   Mengkaji cara yang sesuai untuk melindungi aset dan mengesahkan kewujudan aset tersebut;

1.7.6   Menilai faedah dan keberkesanan penggunaan sumber yang ada, mengenalpasti peluang untuk meningkatkan penggunaan sumber serta mencadangkan cara untuk mengatasi masalah yang berkaitan;

1.7.7   Mengkaji perjalanan organisasi dan pelaksanaan program untuk memastikan sama ada hasilnya selaras dengan objektif yang telah ditentukan, dan sama ada ianya telah dilaksanakan sepertimana yang dirancangkan;

1.7.8   Menyelaras tugas SKAD dengan Audit Luar;

1.7.9   Menjadi penasihat dan pemerhati dalam pembangunan sistem pengurusan berasaskan komputer terutama dari aspek:

  1. Ciri-ciri kawalan dalaman;
  2. Ciri-ciri ketepatan; dan
  3. Keupayaan merekod dokumentasi supaya sistem yang dimajukan ini dapat membantu UM mencapai matlamatnya.

1.7.10   Mengemukakan jadual kerja auditan tahunan kepada Naib Canselor dan JKA untuk pertimbangan dan kelulusan;

1.7.11   Melaporkan kepada pihak pengurusan sesiapa yang sepatutnya mengambil tindakan atas sesuatu teguran audit;

1.7.12   Melaporkan kakitangan yang didapati melakukan penyelewengan;

1.7.13   Memastikan setiap perancangan dan tindakan yang dibuat oleh UM telah mengambil kira pandangan audit sebelumnya berdasarkan laporan-laporan audit yang diedarkan;

1.7.14   Menilai semua rancangan dan tindakan yang telah diambil selaras dengan teguran audit mengenainya; dan

1.7.15   Mengemukakan laporan setiap suku tahun kepada JKA yang meliputi perkara berikut:

  1. Tindakan susulan yang telah diambil di atas penemuan audit dalam yang penting;
  2. Peningkatan keberkesanan dan kelicinan operasi, hasil daripada tindakan audit;
  3. Penyelarasan Audit Dalam dan Audit Luar untuk mengelakkan pertindihan;
  4. Perancangan kerja audit; dan
  5. Halangan yang dihadapi dalam melaksanakan kerja-kerja audit
1.8  RANCANGAN AUDIT TAHUNAN

Ketua SKAD akan mengemukakan rancangan audit tahunan kepada JKA sekurang-kurangnya sekali setahun untuk semakan dan kelulusan. Rancangan audit tahunan merangkumi tajuk pengauditan, jadual kerja audit serta keperluan bajet dan sumber bagi tahun berikutnya. Ketua SKAD akan memaklumkan sebarang batasan sumber, perubahan pengauditan dan kesan-kesannya kepada JKA.

Rancangan audit tahunan disediakan berdasarkan keutamaan kepada audit universe menggunakan kaedah penilaian risiko, kawalan dalaman dan proses pentadbiran. Rancangan audit tahunan juga mengambilkira cadangan atau permintaan daripada JKA dan Pengurusan UM. Sebarang perubahan ke atas rancangan audit tahunan yang telah diluluskan akan dimaklumkan kepada JKA melalui laporan aktiviti secara berkala.

1.9  PELAPORAN DAN PEMANTAUAN

Satu laporan bertulis akan disediakan dan dikeluarkan oleh Ketua SKAD atau wakil yang dilantik setelah berakhirnya proses pengauditan dan diagihkan mengikut kesesuaian. Keputusan atau cadangan yang dikeluarkan oleh SKAD akan dimaklumkan kepada JKA. Laporan audit yang dikeluarkan termasuklah maklumbalas daripada pihak yang diaudit dan tindakan yang telah diambil dan akan diambil bagi penemuan-penemuan audit dan cadangan-cadangan khusus yang dinyatakan oleh SKAD. 

SKAD bertanggungjawab menjalankan susulan ke atas penemuan dan cadangan yang dinyatakan sepertimana yang dipersetujui. Penemuan-penemuan penting akan kekal sebagai isu terbuka sehingga ianya diselesaikan.SKAD juga akan mengadakan semakan secara dalaman terhadap kerja-kerja yang telah dilaksanakan dan juga keseluruhan pentadbiran unit.  Tujuan semakan dan penilaian ini adalah untuk memastikan SKAD beroperasi dan berfungsi mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

1.10  PENILAIAN BERKALA

Ketua SKAD akan melapor secara berkala kepada LPU, JKA dan pihak Pengurusan Universiti mengenai tujuan, kuasa dan tanggungjawab pengauditan serta prestasi ke atas rancangan audit tahunan tersebut. Laporan tersebut mengandungi isu pendedahan risiko, isu kawalan dalaman, isu tadbir urus dan lain-lain perkara yang diperlukan atau dicadangkan oleh LPU, JKA dan pihak Pengurusan Universiti.

Last Update: 15/10/2024